ABSTRAK :

Para pelajar Biologi sering menghadapi masalah yang agak serius dalam usaha untuk memahami dan mengingati sesuatu perkara yang diajarkan oleh guru di dalam kelas terutama sekali yang melibatkan fakta saintifik yang terlalu banyak. Masalah ini seringkali dikaitkan dengan bentuk pembelajaran yang diterima oleh para pelajar sama ada ia adalah pembelajaran ‘bermakna’ ataupun pembelajaran ‘tidak bermakna’. Jika dilihat kepada graf melengkung pengekalan (retention curve) hasil kajian Mc Geoh (1942), dalam tempoh permulaan selepas pembelajaran bermakna berlaku, kuantiti yang dikekalkan dalam ingatan adalah tidak begitu cepat menurun berbanding pembelajaran yang tidak bermakna. Pembelajaran tidak bermakna telah menyebabkan berlakunya proses lupaan dengan lebih kerap. Lupaan adalah merupakan satu motif di mana maklumat yang tertentu sengaja dilupai kerana dianggap tidak penting, kurang senonoh atau tidak berguna berdasarkan kesedaran mental seseorang (Mok Soon Sang, 2004). Masalah-masalah seperti ini sebenarnya dapat dikurangkan dengan mengubah gaya dan corak pengajaran dan pembelajaran daripada sesuatu yang berkonsepkan ceramah kepada sesuatu aktiviti yang memerlukan banyak penglibatan daripada murid-murid itu sendiri. Apa yang boleh dilakukan adalah dengan mengajar menggunakan bahan pembelajaran yang bermakna, panjang masa yang digunakan adalah sesuai, pembelajaran menarik dan ada ganjaran, tahap kesukaran berpatutan iaitu tidak terlalu mudah dan tidak pula terlalu sukar, memberi cukup ulangkaji dan mengajar dengan ada gambarajah. (Mok Soon Sang, 2004). Sehubungan dengan itu, kajian ‘P-PCOMP-US’ ini telah dirancangkan dengan tujuan untuk meningkatkan tahap kefahaman dan kualiti ingatan yang lebih baik kepada para pelajar semasa mempelajari subtopik proses pencernaan karbohidrat, protein dan lipid dalam diri manusia. ‘P-PCOMP-US’ yang membawa maksud ‘P’ untuk pengenalan kepada topik, ‘PCOMP’ adalah pembelajaran menggunakan bantuan komputer dan ‘US’ membawa maksud ulang kaji segera. Kajian ini ditumpukan kepada 30 orang pelajar Biologi tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa, Marang, 25 orang pelajar Biologi tingkatan 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor, Kuala Terengganu dan 27 orang pelajar Biologi Sekolah Menengah Kebangsaan Balung, Tawau, Sabah. Tinjauan awal dan temu ramah yang telah dijalankan di beberapa buah sekolah menengah di Negeri Perak, Sabah dan Kelantan telah menunjukkan bahawa para pelajar sering menghadapi masalah dan kesukaran untuk memahami dan seterusnya mengingati mana-mana topik yang mengandungi terlalu banyak fakta saintifik seperti contoh fungsi-fungsi enzim, kelenjar-kelenjar yang terlibat, substrat yang sesuai dan apakah hasil pencernaan yang terhasil. Pelajar sering menganggap topik seperti ini susah kerana terlalu banyak perkara yang perlu dihafal. Justeru itu, dalam kajian tindakan ini, satu aktiviti yang merangkumi aspek-aspek pembelajaran bermakna telah dicadangkan melibatkan panjang masa yang sesuai, proses pembelajaran menarik, memberi cukup ulangkaji dan melibatkan penggunaan gambarajah bergerak. Pelajar juga akan didedahkan dengan penggunaan teknologi maklumat yang berkesan kerana salah satu daripada aktiviti ini akan dijalankan menggunakan perisian Microsoft Power Point. Kemudian satu ujian pos akan dijalankan dan pencapaian para pelajar dalam ujian ini akan menjadi petunjuk kepada keberkesanan kajian tindakan yang dijalankan ini.

Read More
Posted by Gu Creative on Sunday, August 23, 2009

Penyelidik

Blog Archive